Serangan zionis terhadap misi kemanusian: pemimpin Umno terus menikus
Dalam isu serangan rejim zionis Israel terhadap kapal Konvoi Bantuan Antarabangsa ke Gaza semalam yang mengakibatkan 16 nyawa terkorban dan ratusan aktivis ditahan termasuk 12 aktivis dan wartawan Malaysia, kerajaan BN yang diketuai oleh Dato` Seri Najib dilihat hanya sekadar meredakan tekanan daripada beberapa pihak agar bertindak dengan lebih proaktif.Kerajaan BN lembab
Awalnya, Najib dilihat terlalu lembab untuk mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan zionis Israel itu seolah-olah menunggu signal daripada penasihat yang diupah dari Yahudi, APCO sebelum bertindak.
Selepas didesak beberapa pihak, baharulah dilihat kerajaan mula mengeluarkan kenyataan mengutuk dan meminta pihak berkuasa bertindak walaupun tiada arahan jelas apakah bentuk tindakan yang diambil, hanya sekadar meminta Kementerian Luar supaya menyelamatkan sukarelawan Malaysia yang terlibat.
Namun tindakan menyeluruh memberi tekanan terhadap rejim zionis Israel tidak pula diambil kira seperti memboikot segala bentuk perdagangan secara rasmi atau tidak yang melibatkan Israel dan sekutunya, menghentikan dengan segera segala bentuk nasihat dan penasihat yang kerajaan buat sebelum ini dengan rejim zionis termasuk juga memanggil sidang khas parlimen membincangkan isu serangan Israel itu.
Apakah Malaysia negara anggota OIC yang lemah?
Sepatutnya kerajaan yang menganggotai OIC dan PBB bertindak lebih cepat dalam hal ini. Tidak hanya menunggu seolah-olah tiada inisiatif yang lebih proaktif dalam menyelesaikan hal ini lebih-lebih lagi melibatkan rakyat sendiri.
Ini menunjukkan kerajaan yang konon negara Islam yang hebat antara negara OIC hanya indah khabar dari rupa. Kelemahan kerajaan BN terserlah apabila lembab dalam membuat kenyataan dan tindakan walaupun rakyat sendiri terlibat.
Namun, kerajaan pimpinan Najib betul-betul mengecewakan rakyat Malaysia kerana lembab dalam bertindak. Selepas didesak pelbagai pihak, baharulah mahu menunjukkan sikap prihatinnya terhadap serangan itu.
PAS dan PR lebih proaktif
Dalam hal ini, PAS dilihat lebih prihatin dan lebih terkehadapan berbanding kerajaan BN yang dilihat lembab dan tidak berani bersuara memberi tekanan kepada rejim zionis Israel kerana mahu menjaga hati APCO dan sekutunya Amerika Syarikat.
Belum lagi kedengaran kutukan daripada pemimpin-pemimpin Umno, pemuda Umno, tali barut Umno (PERKASA), puak-puak yang selalu lantang bersuara konon memperjuangkan bangsa dan agama terhadap serangan rejim zionis Israel terhadap pasukan bantuan kemanusiaan itu. Apakah mereka ini memikirkan tiada kepentingan bagi mereka?
PAS walaupun bukan kerajaan yang memerintah negara ini, namun dilihat lebih proaktif dalam memberi pandangan dan usul kepada kerajaan BN yang dilihat lembab dalam menentukan bentuk tindakan yang perlu diambil.
PAS melalui Presidennya, Dato` Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta tindakan lebih tegas dan keras dikenakan kepada rejim zionis Israel.
Rejim zionis mempermainkan meja rundingan
Presiden PAS itu berkata, masyarakat dunia perlu memikirkan strategi baru yang lebih serius untuk terus memberikan tekanan kepada rejim tersebut yang nyata sudah tidak lagi menghormati meja rundingan.
"Masyarakat dunia sememangnya memerlukan satu strategi dan tindakan baru yang lebih serius, tegas, dan keras untuk memberikan tekanan kepada rejim Zionis yang sudah terbukti tidak menghormati meja perundingan," katanya.
Malaysia tegasnya perlu mendahului tindakan tersebut dengan mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membawa isu ini ke Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan PBB.
Serangan ke atas konvoi tersebut katanya, memperlihatkan wajah sebenar kejahatan rejim zionis Israel yang tidak pernah menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa termasuk kecaman keras oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Puluhan resolusi yang dicapai di peringkat antarabangsa juga jelasnya nyata gagal menghalang rejim Zionis Israel dari terus bertindak kejam dengan berleluasa.
Pas turut menggesa Majlis Keselamatan PBB menamatkan kepungan ke atas Gaza dengan melaksanakan dan menjamin keselamatan di rantau tersebut.
Najib diberi tempoh 48 jam
Kenyataan lain yang berkaitan, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, PAS memberi tempoh 48 jam kepada kerajaan Najib untuk memanggil sidang khas parlimen membincangkan isu serangan Israel itu.
Selain itu, kerajaan perlu menamatkan kontrak dengan syarikat perunding antarabangsa yang merupakan proksi kepentingan politik Israel dan Amerika Syarikat.
Kerajaan juga dituntut menghentikan dengan segera sebarang urusan perdagangan yang rasmi atau tidak rasmi dengan Israel.
Dalam perkembangan lain, PAS juga telah menyusun beberapa siri bantahan terhadap rejim zionis Israel ekoran tindakan mereka menyerang kapal Konvoi Bantuan Antarabangsa ke Gaza.
PAS mengatur program mengutuk Israel
Dalam sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa memberitahu, beberapa program telah diatur bermula dengan penyerahan memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat, majlis solat hajat dan himpunan aman rakyat Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam diikuti dengan perhimpunan aman rakyat pada Jumaat ini.
Menurutnya, PAS juga merupakan salah satu parti yang terlibat dalam komuniti gerakan Islam membantah tindakan kejam Israel itu.
"PAS sedang berkomunikasi dengan komuniti gerakan Islam dan hasil perbincangan sebelum ini, kita akan membawa seorang wakil daripada Palestin untuk bersama-sama dalam program di Stadium Malawati Khamis ini," katanya yang juga ahli parlimen Bachok.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, PAS akan menghantar satu surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang ini bagi meminta satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu ini.
"Kami akan fakskan satu surat kepada Datuk Seri Najib bagi meminta satu sidang khas Parlimen diadakan dalam masa terdekat ini. Amat wajar bagi kita membincangkan di Parlimen isu besar yang melibatkan rakyat Malaysia yang berada dalam kapal tersebut.
"Kita harap Parlimen Malaysia boleh bersidang sebelum 7 Jun ini untuk menunjukkan rasa tanggungjawab dan kepekaan kita," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.
Serangan paling kejam zionis
Sementara itu di Kota Bharu, Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan serangan berkenaan adalah paling kejam pernah berlaku dalam sejarah rejim zionis itu.
Beliau mahu semua rakyat, tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama, bangkit mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.
"Insya Allah kemusnahan akan berlaku ke atas Israel satu hari nanti," katanya.
PAS dan PR serah memorandum
Hari ini juga (1 Jun 2010), PAS telah pun menyerahkan satu memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi mendesak negara itu menghentikan bantuan askar mereka kepada Israel untuk mencabul hak dan menzalimi rakyat Palestin.
Penyerahan memorandum tersebut diketuai Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa bagi mewakili Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Turut serta pada penyerahan itu termasuk Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr. Dzulkefly Ahmad serta Dr. Lo' Lo' Ghazali.
Selain PAS, parti dalam PR juga tidak ketinggalan mengutuk tindakan rejim zionis itu. PKR yang diwakili Naib Presidennya Mustafa Kamil Ayub, R.Sivarasa Rasiah dan disertai Pengarah Strategik Tian Chua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin turut menyerah memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat selain Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) diserahkan oleh Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Umno terus menyepi takutkan APCO
Yang menjadi persoalan, di mana pula suara daripada pihak-pihak yang selama ini lantang kononnya memperjuangkan Islam.
Mana perginya pemuda Umno, mana perginya PERKASA, mana perginya GPMS, mana perginya pemimpin-pemimpin agung Umno?
Apakah mereka ini telah ditutup mulutnya oleh APCO?Apakah ‘bos’ mereka telah mengarahkan tiada penentangan terhadap serangan itu?
Tapi jika ada kepentingan politik mereka yang berkaitan dengan ‘serangan’ peribadi pemimpin pakatan rakyat, tak perlu tunggu esok, maka beraturlah mereka itu disepanjang jalan dan masjid konon memperjuangkan Islam dan Melayu sambil membawa sepanduk yang berbaur perkauman dan keji mengeji.
Tiada kepentingan politik, maka tiadalah bantahan. Itulah Umno yang selama ini didakwa pejuang agama, bangsa dan negara.
Hingga kini, puak-puak Umno terus menyepi dan tiada apa-apa tindakan yang drastik dan lebih proaktif jika berbanding apa yang dibuat sebelum ini. Apakah ianya adalah nasihat daripada APCO?
Post a Comment