Header Ads

Najib dijemput hadir perbincangan meja bulat kecam serangan zionis

KUALA LUMPUR, 1 Jun: Pakatan Rakyat menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kesemua parti politik mengadakan perbincangan meja bulat Jumaat ini untuk mengambil pendirian sebulat suara mengecam serangan Israel ke atas konvoi kapal kemanusiaan ke Gaza semalam.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengeluarkan jemputan kepada Perdana Menteri dan kesemua komponen Barisan Nasional, malah kepada pertubuhan bukan kerajaan Islam dan bukan Islam agar menghadiri perbincangan itu.

Perbincangan meja bulat itu akan diadakan pada pukul 11.30 pagi di Kampung Baru di sini.

“Kita perlu mengambil tindakan lebih serius dalam isu ini dan mengecam keganasan yang berterusan,” kata beliau selepas menghadiri mesyuarat Sekretariat Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menambah, susulan perbincangan meja bulat itu kesemua parti yang terlibat akan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak untuk mengemukakan memorandum bagi pihak rakyat Malaysia bagi mengutuk tindakan rejim Israel dihentikan.

“Bagi ini, kami juga telah memutuskan untuk menjemput Perdana Menteri agar menyertai kami dalam pertemuan khas ini,” katanya.

Kata beliau, parti-parti komponen Pakatan Rakyat juga bersetuju untuk mendesak Parlimen mengadakan usul khas membincangkan tindakan Israel.

“Kami mahu Parlimen mengadakan sesi khas agar kita boleh bercakap atas satu suara,” katanya lagi.

Pagi tadi, Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan di depan Kedutaan Amerika Syarikat.

Pemuda Pakatan Rakyat dijadual mengadakan perhimpunan protes di depan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya tengah hari esok. -The Malaysian Insider

WarkahDaily - Kita tunggu, Najib kata apa dengan jemputan itu. Apakah Najib berani berhadapan dengan PR dalam apa isu sekali pun?

Setakat ini, hanya Shabeery Cheek dan Nazri Aziz yang dilihat sedikit ada keberanian berhadapan dengan pemimpin PR.

Kita tunggu giliran 'bos' mereka sendiri pulak. Ada berani?

Kita boleh lihat, apakah Najib dan kerajaannya betul-betul serius dalam memberi kecaman terhadap serangan zionis Israel terhadap misi kemanusian ke Gaza.



Dikuasakan oleh Blogger.