Bonus: Timbang semula permintaan kami kerana ekonomi semakin pulih - Cuepacs
PULAU PINANG, 22 Mei: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) masih menaruh harapan kerajaan akan menimbang semula pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam selepas ekonomi negara menunjukkan perkembangan memberangsangkan.Presidennya, Omar Osman berkata, beliau berharap rayuan pemberian bonus itu akan dipertimbangkan tahun ini.
"Kami faham bahawa pada tahun lepas, ekoran kegawatan ekonomi global kerajaan terpaksa menolak permintaan tersebut tetapi kami berharap kerajaan akan menimbang semula permintaan kami tahun ini kerana ekonomi negara semakin pulih," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat di Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata, sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ekonomi negara telah merekodkan pertumbuhan sebanyak 10.1 peratus bagi suku pertama tahun ini, Cuepacs berharap permintaan bagi pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam akan dapat dipenuhi.
Omar berkata, Cuepacs juga mahu kerajaan menimbangkan semula cadangan memanjangkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari berbanding 60 hari ketika ini. -Bernama
Post a Comment