Header Ads

F1 di Sepang: Panasnya Malaysia!

MALAYSIA adalah tempat yang sukar untuk berlumba. Ia panas, lembap dan sering kali ada risiko ribut petir pada lewat petang.

Cuaca melampau itu menyebabkan Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia digelar sebagai 'perlumbaan paling sukar sepanjang tahun' di kalangan pelumba, yang berdepan suhu kokpit melebihi 40 darjah Celsius dan kehilangan tiga kilogram berat badan.

Ia lebih sukar di kalangan krew pit yang memakai pakaian kalis api, kasut but dan topi keledar.

"Masalah besar yang perlu kami bimbangkan mengenai Malaysia adalah pemanasan melampau," kata doktor pasukan Renault, Riccardo Ceccarelli.

"Kami tidak begitu bimbang mengenai penyahhidratan (dehydration) kerana apabila anda berpeluh dalam keadaan berbahang, peluh itu tidak menyejat dan ia kekal di atas kulit anda - sebab itulah kita sering berasa lembap dan berpeluh.

Bagaimanapun, kerana peluh itu tidak menyejat, ia menyebabkan suhu badan meningkat, menjurus kepada pemanasan melampau, kemudiannya menyebabkan tahap tumpuan anda semakin menurun." Bagi mengelakkan pemanasan melampau dan persembahan merosot, kebanyakan pasukan Formula Satu sudah mencuba dengan beberapa jalan penyelesaian bagi membolehkan pemandu mereka tetap berasa sejuk.

Ais ketul adalah pilihan lama dan ia akan diletakkan dalam topi keledar pemandu, kasut, sarung tangan - secara asasnya di mana saja mereka akan berasa selesa. Ia mungkin jalan penyelesaian jangka pendek, tetapi setiap darjah penurunan suhu diambil kira.

Pengalihan udara yang bagus di topi keledar juga penting kerana mengekalkan kesejukan di kepala (dan otak) adalah satu keutamaan.

Jika ada masa, Ceccarelli juga mencadangkan mandi air sejuk sebaik sebelum kereta berada di grid perlumbaan.

Pemandu juga perlu mengikut nasihat doktor setibanya di Malaysia bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca tempatan.

"Adalah penting untuk melakukan senaman sebaik mereka tiba ketika menyesuaikan diri dengan suasana baru," jelas Ceccarelli.

"Mereka turut perlu menukar diet pemakanan mereka dan makan makanan ringan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kerana makanan berat memerlukan lebih banyak penghadaman, yang sekali gus meningkatkan suhu badan mereka." Selain mengambil berat mengenai apa yang mereka makan, pemandu juga perlu minum banyak pada hujung minggu.

Robert Kubica biasanya mengambil campuran termasuk garam mineral, kalium, magnesium dan karbohidrat. Minuman botol di kokpit memainkan peranan penting bagi memastikan pemandu hidrat ketika perlumbaan.

Minuman pilihan Vitaly Petrov adalah campuran bergula seperti teh limau - sesuatu yang sesuai tidak kira berapa panasnya di kokpit jentera R30.

Ia adalah tugas sukar buat pasukan juga, yang perlu mengambil langkah sama bagi memastikan mereka mampu menangani cuaca panas.

Malah, 4,000 botol air akan diminum sepanjang empat hari berada di Malaysia - ia hampir dua kali ganda daripada jumlah biasa. Selain itu, pasukan juga akan mengambil 1,000 botol minuman bertenaga dan 1,000 tin minuman ringan. -HM
Dikuasakan oleh Blogger.