Berbaloikah RM1.24 bilion penajaan pelajar ke luar negara ketika ekonomi tenat?
Bukan mahu mempertikai peruntukan untuk pendidikan anak bangsa, tetapi mahu bertanya, apakah relevannya perlu dikeluarkan sebanyak itu perbelanjaan untuk menghantar pelajar negara kita ke luar negara?Semalam, kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyediakan 1,500 biasiswa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Program Ijazah Luar Negara (PILN) tahun ini dengan penajaan berjumlah RM1.24 bilion untuk sepanjang pengajian.
RM1.24 bilion bukannya sedikit. Banyak benda boleh buat. Jika diagihkan kepada semua Universiti dalam negara untuk penyelidikan, rasanya lagi banyak faedah bagi pelajar kita yang lebih ramai lagi berada di dalam negara berbanding di luar negara.
WarkahDaily bukannya mahu membantah tindakan kerajaan menghantar pelajar kita ke luar negara, tetapi berpada-padalah, jika mahu diukur 'baju' yang kita pakai. Sekarang dengarnya ekonomi negara masih lagi belum pulih, ditambah lagi dengan kebocoran dan ketirisan projek kerajaan, terbengkalai dan sebagainya.
Berbaloikah negara jika kerajaan berbelanja sebegitu banyak untuk menghantar pelajar kita ke luar negara.
Universiti dalam negara pun apa kurangnya. Bukan sedikit universiti yang ditubuhkan kerajaan. Tidak cukup jari mahu membilangnya.
Apakah kerajaan telah memperlekeh kebolehan yang ada di universiti kita?
Kita mengajak orang luar negara seluruh dunia datang belajar di negara kita, tapi kita pula tidak memberi kepercayaan kepada pusat pengajian sendiri dengan menghantar pelajar kita ke luar negara.
Universiti tempatan pun banyak fakulti besar. Termasuklah bidang-bidang kritikal dan keutamaan yang diperlukan oleh negara pada masa hadapan, seperti perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan.
Kualiti pendidikan pun tidaklah ada perbezaan ketara antar luar negara dan dalam negara. Bahkan ada institusi pendidikan tempatan lebih hebat dalam bidang-bidang tertentu berbanding luar negara.
Bukan ke ada kerajaan-kerajaan negeri telah mengadakan inisiatif mengadakan MoU antara universiti luar negara untuk mengadakan cawangannya dalam negara?
Jika nak dibandingkan dengan peruntukan untuk pelajar dalam negara yang hanya sedikit jika nak dinisbahkan dengan luar negara.
Kerajaan hanya menyediakan 100 penajaan untuk mengikuti pengajian di empat buah universiti penyelidikan iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.
Bukan tidak setuju hantar tapi berpada-pada dalam keadaan ekonomi kita yang tidak menentu sekarang ini. Lainlah jika kita kaya!
Sekadar pendapat, bukan anti.
Post a Comment