Header Ads

Hutang hampir 1 juta telah dibebani Penghuni Pangsapuri Taipan

PELABUHAN KLANG: Orang lain yang berhutang, pemilik rumah yang merana menanggung beban - itulah masalah dihadapi lebih 50 keluarga yang menghuni Pangsapuri Taipan, Bandar Armada Putra, Pulau Indah, di sini sejak empat tahun lalu.

Bukan sedikit beban perlu ditanggung, kerana ada hutang kira-kira RM800,000 yang perlu dilangsaikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) jika tidak mahu bekalan air ke rumah dipotong. Penghuni di situ dikejutkan syarikat utiliti itu malam Sabtu lalu apabila petugasnya datang untuk memotong bekalan air berikutan kegagalan penghuni membayar tunggakan yang mencecah hampir RM1 juta.

(MOHD KAMARU menunjukkan sebuah premis di tingkat bawah pangsapuri itu
yang digenangi air akibat paip bocor. -foto BH)


Seorang penduduk yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) pangsapuri itu, Mohd Kamaru Ariffin, 35, berkata pada 2004, pemilik pangsapuri berkenaan menandatangani perjanjian dengan pengurusan sebuah kolej milik anak syarikat kerajaan Selangor yang beroperasi di situ.

Katanya, perjanjian itu untuk tempoh enam tahun bermula 2004 hingga 2010 bagi penginapan pelajar kolej berkenaan yang ketika itu mempunyai kampus di Bandar Armada Putra.

“Pada 2006, kami mendapati berlaku kebocoran pada paip bawah tanah di blok C dan D, yang tidak disedari sehingga air mula mengalir ke dalam longkang.
“Bagaimanapun, aduan kami kepada pengurusan bangunan tidak diendahkan sehingga keadaan berlarutan selama enam bulan sebelum mereka membaikinya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, bil air termasuk bil tertunggak mencecah RM120,000 pada bulan pertama saja, dan jumlah itu meningkat sehingga kini berjumlah kira-kira RM800,000.

Katanya, kejadian tengah malam Sabtu itu bukan kali pertama dialami pemilik rumah yang kini kembali mendiami pangsapuri berkenaan, sebaliknya penghuni pernah terputus bekalan air berikutan dipotong Syabas.

Beliau berkata, bukan niat penduduk untuk tidak mahu melangsaikan hutang berkenaan, tetapi mereka tidak ada wang mencukupi, lebih-lebih lagi ia bukan dilakukan penduduk.


“Ketika paip bocor dulu, kita pernah laporkan kepada pengurusan kolej, tetapi mereka menuding jari terhadap pihak pengurusan bangunan.

“Kalau ikut perjanjian, mereka menyewa hingga 2010, tetapi berikutan ketiadaan pelajar, mereka berpindah ke Kuala Selangor, dan pelajar dari blok C dan D dipindahkan ke blok A dan B yang tidak terjejas.

“Ketika kami mengambil alih pangsapuri ini, kami dapati bukan saja bil air tidak dibayar, bil lampu koridor juga tertunggak sehingga bekalan dipotong. Masih ada penghuni yang belum mendapat sewa yang dijanjikan,” katanya.

Difahamkan, selepas dibawa ke pengetahuan kerajaan Selangor, kerajaan negeri bersetuju membayar pembayaran permulaan RM40,000 kepada Syabas, manakala pembayaran lain akan dibayar penduduk mengikut pelan pembayaran yang sesuai.

Bagaimanapun, Syabas bertindak memotong bekalan air ke pangsapuri berkenaan selepas tidak menerima bayaran daripada kerajaan negeri pada 19 Mac lalu tetapi dihalang penghuni terbabit. -BH

WarkahDaily - Fuyoo, banyak tu. Kasihan kepada 50 keluarga yang menghuni Pangsapuri berkenaan. Diharap kepada pihak berwajib, agar menyiasat perkara ini dengan telus dan cekap agar tiada yang tertindas atas tindakan segelintir manusia yang mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain.

Mana mahu cari duit hampir 1 juta tu. Depa bukan orang senang pun. Lainlah kalau depa pernah dapat komisyen pembelian kapal selam ke, pernah dapat projek bina stadium di Terengganu ke.
Dikuasakan oleh Blogger.