Header Ads

Maybank terus unggul sebagai institusi kewangan terbesar negara

SELEPAS 50 tahun penubuhannya pada 1960, Malayan Banking Bhd (Maybank) terus unggul sebagai institusi kewangan terbesar di negara ini dengan aset lebih RM310 bilion. Pengerusinya, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, berkata Maybank turut mencatatkan permodalan pasaran lebih RM48 bilion sehingga kini.

Katanya, sebagai kumpulan perbankan terbesar tempatan, Maybank kini mengembangkan operasinya dengan membuka 1,750 cawangan di 14 negara termasuk lima pusat kewangan di peringkat antarabangsa.

"Sudah lima dekad Maybank menjadi pilihan utama rakyat di negara ini dan pertama dalam industri menawarkan serta memenuhi segmen meluas kepada komuniti tidak kira di kawasan bandar atau luar bandar".

"Malah, sebagai menghargai pelanggan setia Maybank, hadiah wang tunai RM2 juta diperuntukkan sempena kempen sambutan ulang tahun ke-50 kali ini," katanya pada majlis pelancaran ulang tahun ke-50 Maybank di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Menurutnya, kempen yang sudah berlangsung itu akan dilanjutkan sehingga 30 April ini dan pelanggan yang menggunakan produk serta perkhidmatan Maybank layak menyertainya secara automatik.

Pelanggan berpeluang memenangi wang tunai sehingga RM500,000 untuk fasa pertama kempen terbabit seterusnya diikuti hadiah mingguan, bulanan dan hadiah utama masing-masing bernilai RM5,000, RM50,000 dan RM200,000.

Beliau berkata, inisiatif tanggungjawab korporat pihaknya tahun ini akan menumpukan kepada alam sekitar dan perlindungan harimau, kesihatan dan pembangunan masyarakat.
Dikuasakan oleh Blogger.