Header Ads

Rakyat terpaksa tanggung kerugian projek Landasan Berkembar Elektrik kerana kerajaan BN tidak cekap

Kerajaan berkemungkinan menanggung sebahagian RM1.14 bilion kos kerugian bagi projek Landasan Berkembar Elektrik antara Rawang dan Ipoh kerana ianya tidak diuruskan dengan baik.

Pelbagai kebejatan telah dilaporkan oleh audit negara telah berlaku dalam pengurusan Projek Landasan Berkembar Elektrik antara Rawang dan Ipoh sepanjang 179km bagi membolehkan penggunaan keretapi dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam yang bernilai RM4.34 bilion.

Pengauditan yang dijalankan antara Ogos 2008 hingga Jan 2009 mendapati beberapa kelemahan dalam pelaksanaan projek itu seperti kelewatan projek disiapkan menyebabkan kos projek meningkat, peralatan dibeli melebihi keperluan serta perolehan tren tidak diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur menyebabkan infrastruktur yang dibangunkan tidak dapat digunakan sepenuhnya sebaik sahaja ia disiapkan.

"Projek ini tidak diuruskan dengan baik menyebabkan objektif pelaksanaannya tidak dapat dicapai seperti mana yang dirancang," menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2008 yang diedarkan di sini.

Laporan audit itu menunjukkan yang kerajaan tidak cekap dalam menguruskan perjalanan projek yang dikendalikan di bawah Kementerian Pengangkutan.

Selama ini kerajaan BN melaung-laungkan perihal kepandaian BN memerintah negara. Banyak pembangunan yyang telah dilakukan oleh BN bagi keselesaan rakyat kononnya. Tetapi ramai rakyat tidak tahu bagaimana pengurusan pembangunan yang dilaksanakan oleh BN.

Jika lihat kepada pembangunan yang dilakukan, siapa tahu bagaimana ianya dilakukan, berapa perbelanjaan yang telah dikeluarkan, siapa punya tender dan sebagainya. Yang diberitahu kepada rakyat hanyalah mengenai banyaknya bangunan yang telah dibina oleh BN.

Tetapi dengan laporan yang telah dibuat oleh Jabatan Audit Negara, banyak kepincangan telah berlaku dalam sesuatu projek yang dilakukan.

Dalam laporan audit, bagaimana peruntukan untuk membeli enam Electric Train Set (ETS) berjumlah RM240 juta dipohon semasa Rancangan Malaysia Kelapan, namun hanya RM20 juta diluluskan dan peruntukan ini tidak mencukupi untuk membeli enam ETS.

Hanya di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, sejumlah RM249.6 juta diluluskan untuk membeli ETS tersebut," menurut laporan itu.

Mengenai 10 Automatic Fare Collection System (AFCS) yang bernilai RM54.43 juta, laporan itu menyatakan hanya lima stesen di Serendah, Batang Kali, Rasa, Kuala Kubu Baru dan Tanjung Malim yang dipasang AFCS dan selebihnya disimpan di stor di Kuala Kubu Baru, Behrang dan Slim River.

"Kelemahan merancang dan kegagalan menyelaraskan perolehan AFCS dengan keperluan sebenar menyebabkan berlaku lebihan perolehan lima set bernilai RM27.22 juta. Sekiranya peralatan ini berterusan tidak digunakan, ia merupakan satu pembaziran," menurut laporan itu.

Banyak pembaziran dan kelemahan yang telah dilaporkan telah berlaku dalam pengurusan kerajaan BN.

Dengan kelemahan yang berlaku itu, banyak kerugian yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan. Tetapi kita perlu sedar, jika kerajaan terpaksa menanggung kerugian, ini bermakna duit yang digunakan untuk menanggung kerugian itu bukan daripada poket Umno-BN atau ada pemimpin Umno-BN yang bermurah hati menanggung kerugian itu tetapi semuanya terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Kerugian adalah berpunca daripada ketidak pandaian kerajaan BN, tetapi semua rakyat terpaksa menanggungnya.

Rakyat perlu sedar akan perkara ini. Selagi Umno-BN memerintah negara kita ini, selagi itulah kita, iaitu rakyat jelata akan ditipu dan terpaksa menanggung kerugian yang dilakukan oleh orang lain yang tidak bertanggungjawab iaitu Umno-BN.
Dikuasakan oleh Blogger.