Isu Kartika: hikmah di sebaliknya
Isu hukuman sebatan terhadap seorang model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno bagi kesalahan meminum arak semakin hangat diperkatakan. Liputannya semakin meluas apabila pelbagai pihak dilihat campur tangan dalam urusan hukuman yang telah dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.18 Ogos lalu, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus, memerintahkan beliau ditahan untuk melaksanakan hukuman sebatan itu. Namun, hukuman sebat ditangguhkan terhadap Kartika oleh Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Abdul Rahman Yunus bagi menghormati bulan Ramadhan.
Kes ini telah diberi liputan meluas media antarabangsa dan keputusan mahkamah syariah itu mendapat kritikan di negara ini.
Pelbagai lapisan masyarakat telah memberi komen yang meluas terhadap kes Kartika. Mantan PM, Dr Mahathir juga dilihat cuba menyindir keputusan kehakiman tersebut. Sindirannya seolah-olah menunjukkan bahawa Islam di negara ini tidak menunjukkan keadilan. Begitu juga banyak bantahan-bantahan daripada NGO dan pertubuhan wanita negara ini terhadap hukuman tersebut.
Tidak ketinggalan juga memberi pandangan, PM Dato` Seri Najib juga meminta Kartika agar membuat membuat rayuan terhadapan hukuman itu. Walaubagaimana pun, Kartika tetap dengan keputusan untuk meneruskan hukuman selepas membuat pertemuan dengan beberapa ilmuan dan ulamak.
Ia jelas menggambarkan akan keikhlasan dan keinsafan yang lahir dari dalam diri Kartika sendiri tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.
Gambaran ini mengingatkan kita terhadap kisah seorang wanita di zaman Rasulullah yang telah berzina yang pergi berjumpa dengan Rasulullah untuk membuat pengakuan yang dia telah berzina dan meminta hukuman dijalankan ke atasnya kerana telah menginsafi kesalahannya itu.
Ketabahan dan kecekalan Kartika dalam menghadapi hukuman itu dengan rela hati telah menyebabkan beliau tidak lagi dikeji bahkan beliau telah dipuji hingga menjadi lambang wanita yang berani dan lambang semangat kental yang tidak berbelah bahagi.
Namun yang penting, kita yang mengaku sebagai beragama Islam, seharusnya berhati-hati dalam membuat sebarang komen atau pandangan agar tidak melencong daripada garis panduan sebenar dan secara tidak sengaja kita telah menghina hukum Allah.
Janganlah nanti kita tergolong dalam golongan orang yang memandai-mandai dalam bidang yang kita tidak ketahui. Kerana tanda-tanda akhir zaman ialah orang yang tidak tahu akan buat-buat tahu terhadap apa yang dia sebenarnya tidak tahu.
Kita sepatutnya memikirkan kes ini dari aspek yang positif. Kerana Allah tidak akan menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Haruslah kita renung sejenak, adakah ini adalah peringatan Allah kepada hamba-Nya agar tidak mengingkari perintahnya.
Pelbagai perintah kita dapat gariskan, iaitu perintah menghindari benda-benda haram, perintah kepada penguasa agar hukum Islam hendaklah dilaksanakan. Selain itu, ia juga menunjukkan kepincangan yang telah berlaku dalam masyarakat kita yang ingkar dengan perintah Allah. Mungkin memberi peringatan akan ketidak perihatinan kita terhadap masalah sosial yang berlaku di sekeliling kita.
Di sebalik kejadian, kita dapati masyarakat seolah-olah tersedar dari lamunan mimpi keindahan dunia. Sebelum ini, masyarakat termasuk pemimpin dan rakyat tidak mengendahkan tentang hukum-hukum Allah. Ada yang menghina, menyindir dan mengabaikan pelaksanaannya. Namun selepas kejadian itu, masyarakat menjadi celik akan hukum-hukum Islam.
Secara tidak sengaja, masyarakat akan memahami apa dia Hudud, Qisas dan sebagainya melalui penjelasan ulamak-ulamak berkaitan isu itu.
Sebelum ini, ramai kurang memahami tentang hukum Islam, konsep hukum Islam, pelaksanaan hukum Islam dan sebagainya, tetapi selepas kejadian Kartika, masyarakat umum menjadi tahu bagaimana pelaksanaan hukum Islam yang sebenar.
Mengulas isu Kartika, Presiden PAS Datuk Seri Tuan guru Hj Abdul Hadi Awang berkata, hukuman terhadap seseorang yang mengambil alkohol pada sisi agama antara 40 hingga 80 sebatan.
"Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan hadis Rasulullah.
"Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 hingga 80 rotan jumlahnya," katanya dalam satu kenyataan".
"Mengikut Islam, sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain daripada memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat".
"Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya apabila sebatan dilaksanakan, tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak," katanya hari ini.
"Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja".
Beliau juga menjelaskan, cara merotan pesalah dalam Islam jauh berbeza dengan hukuman sebat yang dijalankan untuk penjenayah bawah undang-undang negara sekarang.
Post a Comment