Web Blog

Sahabat

Tags

    Blogumulus by Roy Tanck and Amanda Fazani

Supports

Pengunjung

Nik Aziz produk istimewa Kelantan - Aziz Desa

Ketua Pegawai Operasi Kelantan Trade Cantre (KTC) Aziz Desa menyifatkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah produk istimewa di negeri itu.

Katanya, kerana keistimewaan yang ada pada Tuan Guru, masyarakat di negara ini termasuk luar negara datang khusus ke negeri Tadahan Wahyu itu semata-mata untuk bertemu dengan Tuan Guru dari dekat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program ceramah keibubapaan ‘Zuriat Kita Tanggungjawab Kita’ anjuran Kelantan Trade Centre (KTC) dan Buraqoil, di Kota Bharu, kelmarin.

Aziz Desa, personaliti TV adalah bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid ketika Kedah diperintah oleh BN sebelum ini.

Pada masa yang sama beliau berkata, hasrat kerajaan Kelantan untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK@12) seramai 6 juta orang akan berjaya.

Jelasnya, ini kerana pelbagai keunikan yang tersendiri dapat dinikmati oleh pelancong termasuk mengikuti kuliah seorang Menteri Besar di Dataran Ilmu, Kota Bharu.

“KTC akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjayakan hasrat itu dan insyaallah, esok seramai 40 orang rombongan para guru dari Kedah akan menginap di sini dalam rangka lawatan mereka selama dua hari,” ujarnya.

Sumber: Harakahdaily.net

Sabtu, Mac 17, 2012 | Posted in , | Read More »

Bertunang anak boleh belanja besar, apatah lagi untuk pertahankan kuasa

Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh berbelanja besar untuk pertunangan anaknya, tentu dia sanggup berbelanja sebanyak mana pun untuk mempertahankan kuasanya, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"(Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri) Abdul Kadir (Sheikh Fadzir) yang mendedahkan Barisan Nasional (BN) membeli undi sejak 40 tahun lalu mendakwa amalan itu tidak akan dilakukan oleh kepimpinan Najib sekarang.

"Mengharapkan Najib tidak membeli undi dalam pilihan raya sama seperti mengharapkan keluarga (Tan Sri) Lim Goh Tong menutup dan meruntuhkan pusat perjudian milik mereka di Genting Highlands. Ia tidak akan berlaku," katanya.

Mohamad berkata, etika apa yang boleh diharapkan dari orang yang dilaporkan berbelanja sebesar RM409,767 hanya untuk pertunangan anaknya.

"Sekarang pejabat Perdana Menteri mendakwa kononnya jumlah mewah yang menyindir kesusahan dan penderitaan rakyat itu dibayar oleh Najib sendiri dan bukan oleh pejabat Perdana Menteri.

"Saya bersetuju bahawa sukar hendak dinafikan pandangan yang menyatakan semuanya boleh dipinda dan diubahsuai untuk menunjukkan kononnya Najib sendiri yang membayar jumlah itu, begitu juga dengan perbelanjaan kira-kira RM80,000 untuk menyambut hari jadinya.

"Saya bersetuju bahawa semuanya boleh dipinda untuk mendakwa bahawa bukan pejabat Perdana Menteri yang membayar semua itu dengan duit rakyat," kata beliau.

Bagaimanapun, jika Najib berbelanja sendiri sebanyak itu, kata Mohamad, ia menimbulkan persoalan yang lebih besar lagi.

"Najib khabarnya ada lima anak, jika seorang anak dia berbelanja kira-kira setengah juta untuk pertunangan seorang anak sahaja, lima anak bermakna hampir RM2.5 juta. Tentu anak lain mahu layanan yang sama di hari pertunangan mereka.

"Itu baru belanja majlis pertunangan, belum lagi lagi pelbagai persiapan lain dan belum diambilkira lagi belanja pernikahan. Tentu jauh lebih besar lagi," katanya.

Najib, kata Mohamad, benar-benar mengamalkan apa yang dia kempenkan, iaitu rakyat didahulukan.

"Najib pernah suruh rakyat ubah gaya hidup. Memang benar, rakyatlah yang terlebih dahulu mesti mengubah gaya hidup.

"Najib tak perlu dan dia boleh terus berboros dan bermewah. Maklumlah, rakyat didahulukan," sindir beliau.

Bagi Mohamad, apa yang berlaku itu membuktikan Najib adalah pemimpin yang pembohong.

"Dia tak habis-habis bercakap untuk menunjuk-nunjuk seolah-olah dia sangat bagus. Tetapi semuanya dia tak buat dan dia hanya mahu orang lain yang melakukan kebaikan.

"Dia bercakap tentang demokrasi terbaik tetapi dia memburukkan lagi demokrasi di Malaysia. Semuanya bohong," kata beliau.

Sebab itulah, kata Mohamad lagi, angan-angan bahawa kepimpinan Najib tidak akan membeli undi dalam pilihan raya hakikatnya lebih buruk dari angan-angan Mat Jenin.

Walaupun cuba bermain kata-kata bahawa kepimpinan Najib tidak akan membeli undi, Abdul Kadir tetap mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa BN menggunakan wang untuk meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya.

Sumber: Harakahdaily.net

Jumaat, Mac 16, 2012 | Posted in , | Read More »

Kerajaan BN caca marba: Selepas SBPA, tarik balik gabung MAS dan AirAsia?


Selepas menarik balik Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), apakah mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menarik balik pula pegangan silang saham MAS dan AirAsia?

Ini ekoran janji Najib mahu mengkaji balik pegangan silang yang disifatkan merugikan MAS ini.

Akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini menyiarkan di muka depan kegusaran kakitangan MAS ekoran pegangan silang yang dikatakan membentuk kuasa monopoli dalam industri penerbangan negara itu.

Walaupun MAS lebih besar, tindakan yang diumumkan Najib sebelum ini juga melahirkan suasana kelas dua kepada kakitangan MAS.

Ini kerana, kakitangan AirAsia menjadi pegawai kanan baru MAS ekoran pergabungan melalui pegangan silang saham kedua-dua syarikat pernerbangan itu.

Baru-baru ini, Najib telah menarik balik SBPA dan menggunakan semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) ekoran bantahan kakitangan kerajaan.

Kini, kakitangan MAS melalui kesatuan mereka membuat bantahan itu akibat dari kesan langsung yang mereka terima ekoran pergabungan itu.

Di bawah perjanjian yang diumumkan Ogos tahun lalu itu, Tune Air Sdn Bhd, pemegang saham terbesar dalam AirAsia, akan mengambil-alih 20.5 peratus saham dalam MAS.

Kazanah Nasional Berhad pula akan memiliki pegangan 10 peratus saham AirAsia dan terus menjadi pemegang saham utama dan tunggal terbesar MAS.

Kesatuan Pekerja Sustem Penerbangan MAS (Maseu) semalam menggesa kerajaan agar mengkaji semula pertukaran saham antara MAS dan AirAsia.

Pengerusinya, Alias Aziz berkata, tindakan ini perlu kerana pergabungan secara tidak langsung itu menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu AirAsia.

Ia langsung tidak memberikan kelebihan kepada MAS, bahkan kakitangan pengurusan atasan MAS kini dikuasai oleh bekas kakitangan AiAsia.

Baru-baru ini, MAS dilaporkan mengalami kerugian besar dalam sejarahnya iaitu sebanyak sebanyak RM2.52 bilion untuk tahun 2011.

Bagi Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Idris telah memulihkan MAS sebelum ini tetapi semua usahanya sudah sia-sia sekarang.

Jumaat, Mac 16, 2012 | Posted in , | Read More »

Menteri Umno Zahid Hamidi gagal tolak saman tumbuk ahli perniagaan

Mahkamah Rayuan semalam menolak dengan kos permohonan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membatalkan saman yang dibawa oleh seorang ahli perniagaan, yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan anak perempuan menteri itu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datin Paduka Zaleha Zahari sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan mengarahkan menteri itu untuk membayar RM5,000 sebagai kos.

Ahli-ahli panel yang lain ialah Hakim Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali.

Ahli perniagaan Amir Bazli Abdullah, 40, memfailkan saman itu pada 4 Julai 2007, mendakwa bahawa beliau telah dipukul dan ditumbuk pada mukanya oleh Ahmad Zahid pada 16 Januari, 2006.

Keputusan itu dicapai selepas mahkamah mendengar penghujahan peguam Shamsul Bahari Ibrahim yang mewakili Ahmad Zahid, dan memutuskan bahawa ia tidak perlu bagi peguam, Amir Bazli, Karpal Singh, untuk membuat penghujahan.

Sumber: Malaysiakini.com

Jumaat, Mac 16, 2012 | Posted in , | Read More »

Kenapa media Umno serang saya - Abdul Kadir

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, segala kritikannya terhadap kerajaan Umno BN bukan kerana kecewa tidak diberi jawatan, sebaliknya mahu membetulkan apa yang tidak betul dilakukan pemimpin negara.

Menurutnya, pandangan yang diutarakannya jika dikaji secara terperinci, ianya adalah sesuatu yang baik untuk melengkapkan transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malang katanya, media arus perdana yang dikuasai Umno telah memutar belit kenyataannya dan menyerangnya secara berterusan.

"Saya tidak ada sebarang kekecewaan dalam hidup saya, lebih-lebih lagi sekarang ini, saya bahagia.

"Pandangan saya ini sebagai orang lama dalam Umno. 56 tahun dari hidup saya, saya beri kepada Umno. Buat apa ahli Umno duk bedai (bedal) orang Umno (macam saya)," katanya pada sidang media di pejabatnya di Mines Waterfront di Serdang.

Pada temubualnya dengan TVPAS dan Harakahdaily Januari lalu, Abdul Kadir mendedahkan jentera BN sekarang sedang masuk ke kampung-kampung mengedarkan wang tunai yang juga disebutnya sebagai strategi "bom" untuk tujuan membeli undi pilihan raya umum.

Dalam isu agenda Bumiputera pula, dalam temubual itu beliau mendakwa kerajaan BN telah gagal meletakkan kedudukan sosio ekonomi bumiputera di tahap sepatutnya sedangkan BN sudah diberi tempoh 50 tahun memerintah.

Mengulas lanjut Abdul Kadir berkata, jika beliau mahukan jawatan mahupun projek, itu bukan sesuatu yang sukar kerana yakin pimpinan parti akan membantunya atas menghargai khidmatnya yang lama.

"Saya tak pernah jumpa mereka nak mintak jawatan atau projek.

"Kalau saya nak jawatan, di kemuncak karier saya sebagai menteri, saya berhenti buat apa, munasabah ke," soalnya.

Nafi beli undi

Dalam pada itu, bekas Menteri Penerangan dan Komunikasi itu juga turut kesal kerana dituduh membeli undi dari pengundi di kawasan parlimennya di Kulim Bandar Baharu.

Sambil menyifatkannya sebagai fitnah, beliau juga menafikan pernah mendakwa penduduk di parlimen itu perlu dibeli untuk mendapat undi.

"Saya sensitif jika ini dikaitkan dengan kawasan parlimen yang saya wakili selama 30 tahun. Bukan sahaja ahli Umno malah seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau fahaman politik ibarat manusia intan permata dan tersangat mulia.

"Kami di Kulim Bandar Baharu tidak pernah dan tidak perlu membayar wang untuk membeli undi sama ada semasa pemilihan parti ataupun pilihan raya umum," tegasnya bersungguh.

Sumber: Harakahdaily.net

Jumaat, Mac 16, 2012 | Posted in , | Read More »

Air di Malaysia diguna untuk kayakan individu tertentu


Khalid ketika memberi ucapan dalam Forum Air Sedunia kali keenam di Marseille, Perancis, semalam. | foto Harakahdaily
MARSEILLE, Perancis: Menteri Besar Selangor memberitahu Forum Air Sedunia kali keenam semalam, bahawa penswastaan perkhidmatan air di Malaysia gagal kerana telah disalahgunakan untuk memanfaatkan golongan rentier menggunakan kos yang ditanggung pengguna.

Bercakap pada sesi Pihak Berkuasa Tempatan dan Serantau sempena Forum Air Sedunia kali keenam di Marseille, Perancis, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,walaupun terdapat kes kejayaan penswastaan air di peringkat antarabangsa, namun keadaan sedemikian tidak berlaku di Malaysia.

"Ini adalah contoh klasik kegagalan percubaan menswastakan kemudahan awam yang diburukkan dengan dua faktor iaitu pertembungan antara politik dan perniagaan di mana keuntungan kepada individu diutamakan di samping konflik kepentingan politik," kata Menteri Besar.

Beliau menegaskan teori penswastaan tidak salah kerana antara lain bertujuan menggurangkan beban kerajaan dan meningkatkan kecekapan sekali gus menambahkan daya saing,

"Namun di Selangor, syarikat konsesi swasta yang dipilih untuk merawat dan menyalurkan air kepada pengguna tidak mahir dan tidak berpengalaman dalam industri perkhidmatan air. Tanpa suntikan kewangan, syarikat-syarikat ini mula berkompromi dengan kualiti air dan penyampaian perkhidmatan air, memaksa tarif air yang tinggi kepada pengguna," katanya.

"Separuh daripada 13 negeri berdepan kewangan defisit dalam operasi air yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion. Melantik pihak luar untuk menguruskan perkhidmatan industri air bukan saja mengurangkan kecekapan malah soal pembiayaan tidak ditangani sebaiknya," katanya yang menambah, kelemahan syarat perjanjian konsesi juga antara punca kegagalan penswastaan air.

"Perjanjian ini sepatutnya memasukkan fasal secara spesifik dan terperinci mengenai denda kepada konsesi yang gagal mematuhi syarat. Dalam kes kita, penjanjian konsesi sangat lemah. Apabila syarikat konsesi berdepan masalah kewangan, Kerajaan Pusat akan menanggung hutang-hutang ini,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian antara negeri dan syarikat swasta sepatutnya mengandungi klausa yang melindungi kedua-dua pihak selain butiran terperinci bahawa perbelanjaan modal oleh kerajaan dengan peraturan jelas serta telus berhubung pemberian kontrak untuk projek-projek utama.

“Jelas penswastaan perkhidmatan air di Malaysia banyak silapnya. Persoalan dihadapi kerajaan negeri adalah sama ada penswastaan berkesan dan jika ya, bagaimana melakukannya? Di Malaysia, perkhidmatan air digunakan oleh golongan rentier, pelopor penswastaan tempatan dan pembuat dasar politik menggunakan hubungan yang sedia ada.

Beliau berkata, jalan penyelesaian ialah dengan merawat air secara holistik dan Kerajaan Negeri telah berusaha melakukannya seperti termaktub dalam Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang digubal untuk menggabungkan industri air di mana pembubaran penswastaan merupakan satu kemungkinannya.

Walaupun akta ini diluluskan peringkat persekutuan, Kerajaan Persekutuan yang dikuasai Barisan Nasional keberatan melaksanakannya ekoran kemenangan mengejut Pakatan Rakyat pada Mac 2008.

"Apabila tiba masa Kerajaan Negeri membeli saham syarikat konsesi (seperti yang ditetapkan dalam akta), Kerajaan Pusat bertindak balas dengan menunjukkan sikap bermusuhan," katanya.

Menteri Besar menjelaskan Kerajaan Negeri telah membuat tawaran rasmi melalui tiga kali rundingan, tetapi syarikat konsesi menuntut pampasan tinggi bagi penjualan saham serta ekuti dan keadaan ini tiada perubahan sehingga kini.

Beliau menekankan bahawa kepentingan politik menjadi faktor penghalang kepada perubahan ini. Kerajaan Pusat mendesak kerajaan negeri segera membeli syarikat konsesi air sebagai cara penyelesaian holistik, tetapi pada masa sama melanjutkan tempoh pajakan kepada syarikat konsesi ini.

"Walaupun atas nama Persekutuan, kuasa kerajaan negeri telah dinafikan sejak sekian lama. Ini kerana Kerajaan Persekutuan di Malaysia mengawal polisi utama dan ini menambah kesukaran kepada kami sebagai sebuah kerajaan negeri untuk membuat keputusan terhadap sumber yang menjadi milik kami," katanya.

Menteri Besar antara tujuh ketua negeri yang dijemput menyampaikan ucapan pada sesi itu yang bertemakan 'Towards Better Water Governance' yang dihoskan Region United (FOGAR) sempena Forum Air Sedunia.

Ini kali pertama Kerajaan Negeri membangkitkan isu air di peringkat antarabanga selepas lebih dua tahun berunding untuk mengambil alih industri perkhidmatan air. Menteri Besar dijangka berucap mengenai isu yang sama ketika berada di London pada Jumaat ini.

Sumber: Harakahdaily.net

Jumaat, Mac 16, 2012 | Posted in , | Read More »

Arkib Blog

Iklan Skyscraper

Advertisement

Iklan 1

Artikel berkaitan

Label